top of page

Dermasiswa $40,000 dilancar bantu pelajar dari famili pendapatan rendah

Berita Harian | 24 August 2021

YAYASAN Mendaki semalam melancarkan sebuah dermasiswa bernilai $40,000 yang bertujuan membantu 80 pelajar posmenengah Muslim daripada keluarga berpendapatan rendah.


Dermasiswa Bazul Ashhab-Dana Amanah Pendidikan (ETF) yang akan ditampung sepenuhnya oleh peguam Encik Bazul Ashhab, akan memberi $500 setahun kepada setiap pelajar tersebut bagi tempoh empat tahun.


Encik Bazul Ashhab, rakan kongsi urusan di Oon & Bazul, berkata dermasiswa tersebut diharap dapat sedikit-sebanyak membantu pelajar menampung sebahagian kos pendidikan supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada pengajian mereka.


"Saya amat menghormati usaha Mendaki dan sumbangannya kepada masyarakat dan saya senang hati berperanan menghulur bantuan," kata Encik Bazul Ashhab.


Beliau percaya pendidikan boleh membuka peluang kepada individu untuk mengubah masa depan.


"Saya faham bagaimana pendidikan membolehkan individu, tidak kira kedudukan mereka dalam hidup, untuk bersaing secara adil dan mengambil kesempatan potensi yang wujud dalam ekonomi sedunia.


"Saya amat bertuah kerana mempunyai pembimbing yang membantu mengubah haluan hidup saya dan saya mahu membalas jasa mereka dengan membantu orang lain pula," tambah beliau.


Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, berkata wang yang diberikan menerusi dermasiswa itu akan membantu ramai ibu bapa Muslim yang ingin melihat anak remaja mereka cemerlang dalam pengajian masing-masing.

Sumbangan Encik Bazul itu akan membantu kesejahteraan benefisiari ETF, kata Cik Zuraidah.


"Saya menjangka melihat lebih ramai pelajar Muslim menjadi warga yang produktif pada masa depan terdekat. Saya yakin masyarakat kita akan meraih manfaat dengan penyertaan beliau," ujar beliau.


Sumbangan Encik Bazul menerusi Oon & Bazul kepada ETF ini bukan kali pertama beliau menyokong pendidikan.


Dalam kenyataannya semalam, Mendaki berkata Oon & Bazul mempunyai komitmen yang sedang diteruskan dengan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar undang-undang di universiti itu.


Dimulakan sejak 2011, Dermasiswa Bazul Ashhab itu memperuntuk bantuan kewangan bagi mahasiswa jurusan undang-undang sepenuh masa daripada keluarga berpendapatan rendah.


Semasa berucap di pelancaran Dermasiswa Bazul Ashhab- ETF semalam, Encik Bazul berkata beliau tidak berasal daripada latar belakang yang senang dan melahirkan harapan agar kerjasama baru dengan Mendaki itu dapat melanjutkan peranannya dalam mempertingkat usaha menyokong mobiliti sosial di Singapura.


"Bagi membantu pelajar Muslim yang mempunyai impian untuk menceburi pengajian undang-undang dan mengamalkan undang-undang selepas melengkapkan pengajian, saya telah mengarahkan firma undang-undang saya untuk meneruskan usaha mengadakan seberapa banyak peluang kenal suai kerja dan bagi traineeship yang termampu."


ETF dimulakan pada 2002 untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Muslim daripada keluarga berpendapatan rendah.


Menurut Mendaki, buat masa ini, ia telah mengagihkan lebih $28 juta kepada lebih 126,000 pelajar menerusi ETF.

Keyboard and Mouse

Articles

Articles

Teamwork

Your Support Matters!

With your help, we hope to raise $12 million to support the education needs of children from disadvantaged Malay/Muslim families. 

bottom of page